Robbaniyatur Rijal adalah salah satu komponen di dalam Robbaniyatud Dakwah. Sebagai seorang dai'e, dakwah yang kita bawa haruslah bersifat robbani ataupun yang bercirikan ketuhanan. Justeru itu, kita menyeru mad'u kita ataupun manusia kepada Allah. Maka, apabila dakwah itu bersifat robbani, semestinya Rijal atau si pelaku dakwah juga harus bersifat Robbani. Sang Rijal juga perlu mempunyai ciri-ciri yang bercirikan ketuhanan. Maka, apakah ciri-ciri Robbaniyatur Rijal itu?
1) Mengajarkan Kitab
Rasulullah merupakan contoh terbaik dalam melaksanakan proses tarbiyah ini apabila diutus menjadi Rasul dan begitu juga yang dilakukan para Sahabat. Baginda mengajarkan Al-Kitab kepada para Sahabat sebaik sahaja diangkat menjadi Rasul. Sinonimnya, dakwah dan tarbiyah ini memerlukan para dai'e mengajarkan Al-Kitab atau menyampaikan Islam walau sedikit kepada manusia yang lain.
Abu Dzar al-Ghifari terus saja menyampaikan seruan dakwah walau sekejap berjumpa dengan Rasulullah. Mush'ab bin Umair, ketika berhijrah ke Madinah, diriwayatkan bahawa tiada satu pun rumah yang tidak diziarahi dalam menyampaikan dakwah Islam. Bahkan, ketika pemerintahan Khulafa' Ar-Rosyidin, para Sahabat mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan dakwah dan itulah sebabnya dakwah itu terus berkembang.
Justeru itu, para Rijal Dakwah harus komited dalam menyebarkan dakwah dan mengajarkan Islam kepada orang lain. Tiada alasan seperti tidak sedia atau tidak cukup ilmu, bahkan mindset seperti ini harus wujud pada seseorang Rijal Dakwah.
2) Mempelajari Kitab
Jika tidak mempunyai, maka tidak boleh memberi. Justeru itu, perlunya seorang Rijal Dakwah atau dai'e itu mempunyai atau mencari ilmu dengan mempelajari Al-Kitab iaitu Al-Quran. Mempelajari Al-Kitab ini adalah sikap yang semestinya ada bahkan merupakan kewajipan seorang Muslim. Dengan wahyu pertama yang diturunkan iaitu "Iqra'" adalah arahan kepada seluruh umat supaya mempelajari agama ini.
Firman Allah: " ..... Jadilah kamu pengabdi-pengabdi Allah, kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)
Justeru itu, proses tarbiyah ini merupakan proses dua hala. Tidak cukup sekadar mempelajari Al-Kitab tanpa berusaha untuk menyampaikan. Dan, tidak juga boleh mengajarkan Al-Kitab tanpa mempelajarinya. Proses mengajar dan belajar ini juga adalah rangkuman dalam tarbiyah dan proses ini akan berterusan sampai bila-bila.
3) Tidak Hina
Sikap inilah yang menyebabkan diri seseorang tidak sanggup berkorban untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah. Sikap ini juga lah yang membantutkan kekuatan tentera apabila hendak berperang dengan musuh. Sikap ini juga dikenali juga dengan penyakit Wahan iaitu cinta dunia dan takut mati.
Terdapat golongan yang meletakkan keyakinan bahawa usaha yang dilakukan adalah kunci kejayaan dakwah. Padahal, kita semua harus sedar bahawa yang memberikan kemenangan dan yang mengalahkan kita adalah Allah. Seseorang dai'e juga harus faham bahawa hubungan dengan Allah sangatlah penting dalam kita mahu membina jambatan hubungan dengan manusia. Mana mungkin kita mahu berdakwah kepada manusia sekiranya hubungan kita dengan Allah sangat teruk?
Lihat saja contoh yang dipamerkan oleh para Sahabat yang digelarkan oleh As-Syahid Syed Qutub sebagai Generasi Al-Quran. Betapa hebatnya hubungan dan dekatnya mereka kepada Allah. Apa rahsia Sultan Muhammad Al-Fateh di atas kejayaan beliau dan tenteranya menawan Konstantinople dan kejayaan Salahuddin Al-Ayubi dan tenteranya menawan Baitul Muqaddis? Semuanya disandarkan betapa dekatnya mereka kepada Allah.
Tidak akan hina manusia itu, jika sentiasa dekat kepada Allah. Dan, seseorang itu akan menempah kehinaan andai dia cuba menjauhkan diri dari Allah. Mulia dan Izzahnya seorang Muslim itu jika dia berpegang teguh pada agama Allah tetapi dia akan menjadi hina jika tidak mempedulikan atau memperlekehkan agamanya.
4) Tidak Lemah
Jasad yang lemah bukanlah ciri-ciri yang sepatutnya ada pada para Rijal. Seseorang Rijal seharusnya seorang yang tegar dan tidak lemah dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah kerana dia faham, betapa banyak kerja yang harus dilakukan dan pengorbanan yang luar biasa diperlukan.
Rasulullah sendiri meletakkan kepentingan pada Tarbiyah Jasadiyyah apabila terdapat keperluan Baginda bersama para Sahabat ke medan perang. Penyebaran dakwah ke seluruh pelusuk dunia oleh para Sahabat, Tabi'in dan dai'e yang terdahulu membuktikan bahawa dakwah dan tarbiyah ini tidak hanya perlu kepada kefahaman dan semangat semata-mata, tetapi jasad yang kuat juga merupakan di antara ciri-cirinya.
Di dalam Kisah Thalut dan Jalut, Allah berfirman, ".....'Allah telah memilihnya (menjadi raja) kamu dan memberikan kelebihan ilmu dan fizikal.'" (Al-Baqarah, 2: 247)
5) Tidak Menyerah (Tidak Statik)
Ciri yang terakhir ialah bahawa seorang Rijal tidak akan mudah menyerah kepada musuh. Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Abbas mengatakan bahawa tidak menyerah ini bererti tidak berdiam diri ataupun tidak statik. Seorang Rijal tidak patut menunggu dan terus menunggu. Seorang Rijal seharusnya bergerak dan terus bergerak untuk melaksanakan dakwah ibarat air terjun yang tidak henti-henti bergerak pada aliran yang ditetapkan.
Firman Allah: "Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." (Ali-Imran, 3: 146)
Sifat dakwah ini memerlukan kita bergerak dan bersikap offensive ataupun menyerang di sebalik hanya bersikap defensive ataupun bertahan. Seseorang Rijal Dakwah tidak boleh tunggu dan lihat, sebaliknya terus mencari mad'u dan mentarbiyah mereka sebaik-baiknya dan seramai mungkin supaya dakwah Islam ini terus berkembang luas.
Kesemua ciri-ciri di atas adalah saling melengkapi dan perlu ada kesemuanya pada seorang Rijal Dakwah. Robbaniyatur Rijal adalah untuk membangunkan diri sendiri dan juga membangunkan orang lain. Begitu mulianya menjadi seorang Rijal Dakwah yang Robbani di mana hidupnya bukan untuk diri sendiri tapi juga untuk orang lain.
Akhuna Abu Hanifah