Sunday, June 17, 2012

Perkongsian Program Santuni Mereka


Syukur Alhamdulillah! Dengan rahmat ALLAH, Pada Jumaat 8 Jun 2012, ikhwah dan akhawat Karisma-PPUKM (K-PPUKM) dengan kerjasama Hidayah Centre (HC) Pusat telah berjaya melaksanakan misi menyantuni saudara baru menerusi program ‘Santuni Mereka’. Program Santuni Mereka merupakan program yang pertama kali dianjurkan oleh K-PPUKM dengan kerjasama HC. Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyantuni saudara baru serta membantu dalam menyelesaikan masaalah mereka. Dalam program yang kali pertama diadakan ini, Mak cik Hidayah Suriati, seorang ibu kepada 5 orang anak yang masih bersekolah rendah telah dipilih untuk disantuni oleh ikhwah dan akhawat K-PPUKM!. 

Latar Belakang Makcik Hidayah

Mak Cik Hidayah Suriati berumur 47 tahun,telah memeluk Islam pada tahun 2002 atas faktor perkahwinan. Pada asalnya, beliau tidak mahu menukar agama dan berkahwin dengan seorang lelaki melayu(warganegara Malaysia)  di Indonesia dibawah undang-undang mahkamah sivil (Mahakamah yang membenarkan perkahwinan campur diantara agama Islam dan agama lain). Setelah berkahwin, beliau diminta oleh suaminya untuk menetap di Malaysia. Oleh kerana penguatkuasaan mahkamah syariah di Malaysia tidak membenarkan perkahwinan campur antara agama Islam dan agama lain, beliau terpaksa memeluk Islam untuk mengekalkan perkahwinan. Setelah beberapa tahun berkahwin, suami Makcik Hidayah berkahwin lain dan meninggalkan Makcik Hidayah bersama 3 orang anak (kini 5 orang) terkontang-kanting tanpa memberi nafkah. Oleh kerana bebanan tanggungjawab serta tekanan daripada situasi yang dihadapi oleh Makcik Hidayah, beliau tidak dapat mengawal perasaan sehingga pernah cuba membunuh diri. Pada tahun 2006, beliau dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur dibawah wad Psakaitri. Pada ketika itu, hidayah Allah menyapa Makcik Hidayah. Beliau mula mendalami Islam dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah. (Benarlah Hidayah itu milik Allah!). Kini beliau sedaya-upaya membesarkan 5 orang anak yang semuanya masih di sekolah rendah dan yang bongsu di tadika. Anak-anaknya, Faizal, Kamariah, Ridzuan, Aina dan Aiman merupakan pelajar cemerlang di kelas masing-masing. Bagi memastikan keluarganya dapat meneruskan kehidupan, beliau terpaksa berhutang keliling pinggang. Notis amaran untuk mengosongkan rumah telah beberapa kali diterima oleh Makcik Hidayah kerana gagal membayar sewa rumah lebih setahun.

Sekitar Aktiviti Sebelum lawatan
Syukur pada Allah yang memudahkan segala urusan, ikhwah dan akhawat K-PPUKM telah berjaya membuat kutipan derma untuk keluarga Makcik Hidayah. Promosi di laman sesawang seperti facebook, derma kilat disurau serta masjid dan juga sumbangan daripada para pensyarah PPUKM juga individu  telah berjaya mengumpulkan kutipan berjumlah RM4200 yang telah diserahkan kepada keluarga makcik Hidayah. Syukur pada Allah, keperihatinan segolongan daripada ummat ini pada kesusahan saudara  seaqidah mereka bukan hanya pada lisan tetapi telah diterjemahkan dengan amal!

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ         

‘iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan” (Ali-Imran : 134)

Sekitar Perjalanan Program Santuni Mereka

Program bermula pada pukul 6.30 petang. Selain ikhwah dan akhawat PPUKM, turut serta wakil daripada HC Pusat, Cik Nor Asma Alya dan juga penampilan istimewa Ukht Raja Azliza memeriahkan lagi program. Setibanya dirumah makcik Hidayah. Program dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Amir K-PPUKM. Kemudian, disusuli dengan pengisian berasaskan pengalaman oleh Makcik Hidayah yang benar-benar menggetarkan jiwa dan meruntun hati! ‘The Quest for Hidayah’ yang ditempuh oleh Makcik Hidayah adalah sangat berliku. Pelbagai ibrah yang kami perolehi daripada pengisian Makcik Hidayah. Diantaranya ialah:  

(1)Sentiasa bersangaka baik pada Allah,

Sabda Rasulullah saw;

عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : قال الله عز و جل أنا عند ظن عبدي بي فإن ظن بي خيرا فله الخير فلا تظنوا بالله إلا خيرا

Maksudnya; Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman, Aku bersama sangkaan hambaKu terhadapKu, sekiranya sangkaannya terkadapKu baik maka baginya kebaikan, maka janganlah bersangka terhadap Allah swt melainkan yang baik

(2) Tidak berputus asa dengan rahmat Allah,

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).

 (3) Wajib berusaha bersungguh-sungguh bagi memperolehi hidayah Allah.
Sungguh terasa izzah(mulia)nya Makcik Hidayah dengan Islam yang dianutinya. Benarlah firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat ke 5,

“Mereka itulah yang tetap mendapat pertunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.”

Kami melihat situasi ini sangat berbeza dengan masyarakat Muslim yang dilahirkan dalam keluarga Islam. Kebanyakan daripada kita yang ‘borned Muslim’ tidak menghargai agama yang kita perolehi daripada keluarga kita. Jom kita analogikan situasi ini dengan kereta buatan Malaysia dan kereta buatan Jerman. Kebanyakan kereta buatan Malaysia adalah ‘ready-made’(siap pasang) menyebabkan performance kurang bagus, dan masyarakat tidak terpegun dengan melihat kereta Malaysia dijalan-jalan raya dan merasakan ianya kereta yang biasa kerana ianya ‘Murah’. Ini berbeza dengan kereta buatan Jerman yang kebanyakannnya ‘Hand-made’ dibuat dengan penuh usaha dan penghayatan(passion) oleh si engineer dan ini menyebabkan harganya sangat ‘Mahal’. Ini mendatangkan perasaan ‘izzah’nya menaiki kereta sedemikian. Jadi Islam yang kita anuti Hand-made atau Ready-made? 
  
Seterusnya, program diteruskan dengan sesi makan-makan bersama keluarga Makcik Hidayah setelah selesai solat fardhu Maghrib. Akhawat makan dirumah Makcik Hidayah dan Ikhwah membawa anak-anak lelaki Makcik Hidayah makan di kedai makan berhampiran. Selesai makan, kami menyerahkan sumbangan daripada kutipan yang dibuat selama 2 minggu  kepada Makcik Hidayah yang telah diasingkan didalam sampul kertas mengikut hutang-hutang Makcik Hidayah yang perlu dilunaskan.

Kata-kata terakhir oleh Makcik Hidayah kepada kami sangat menyentuh. Makcik Hidayah berkata “Walaupun pelbagai kesusahan  yang Makcik alami untuk memelihara iman, seperti tidak dapat bersama keluarga Makcik yang masih beragama kristian dan terputus persahabatan dengan 5 orang kawan baik kerana memilih untuk memeluk Islam, tetapi Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Allah menggantikan Makcik dengan keluarga yang lebih besar!!!”. Makcik Hidayah juga menjemput untuk ikhwah dan akhawat untuk datang beraya kerumahnya nanti. Hemmm..boleh ke? InsyaAllah Makcik Hidayah.

Konklusinya, misi menyantuni saudara pada kali ini tercapai. JZKK pada semua pihak yang memberi kerjasama dalam menjayakan program ini. Moga pengalaman yang kita kutip bersama ini menjadi pemacu semangat kita dalam Aslih Nafsak,Wad'u Ghairak (Memperbaiki Diri, Dan mengajak Yang Lain).     

Gambar Semasa Program








1 comment:

  1. Allah.
    Better tak payah mention nama ana kot =)
    Cukup wakil HC Pusat.

    ReplyDelete