Khutbah Jumaat pada minggu ini membawa tajuk yang amat dekat dengan diri kita, iaitu "Anak Soleh". Adakah kita anak yang soleh/solehah ataupun tidak? Sama-sama kita ikuti ringkasan daripada Khutbah Jumaat ini.
Tajuk: Anak Soleh
Tempat: Surau Ibnu Sina, PPUKM
Tarikh: 26/11/2010
Rumusan:
Anak merupakan anugerah terbesar daripada Allah kepada ibu dan bapa. Anak-anak lahir di dunia dalam keadaan fitrah dan suci. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk membentuk mereka. Jika anak tersebut dididik dengan baik dan menjadi anak yang soleh, dia akan menjadi ‘saham’ kepada ibu bapa di akhirat kelak dan memberi manfaat kepada ibu bapa secara tidak langsung. Seperti yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam hadis.
”Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)”
Sebaliknya, jika anak tidak dididik dengan baik, perkara sebaliknya akan terjadi dan ibu bapa akan dipertanggungjawabkan ke atasnya. Pernyataan ini turut dinyatakan dalam Surah Al-Kahfi (18: 46) :
Maksudnya: Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.
Khatib turut menyentuh mengenai kisah Nabi Zakaria a.s yang mengimpikan seorang anak demi menyambung perjuangannya dalam memimpin kaum Bani Israil dan juga menyambung keturunannya. Walaupun Nabi Zakaria dan isterinya sudah mencecah umur 90, mereka tetap berusaha untuk medapatkan seorang zuriat. Nabi Zakaria berdoa tanpa henti kepada Allah tentang hajatnya untuk mempunyai seorang zuriat seperti digambarkan dalam Surah Ali Imran (3: 38).
Maksudnya: Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya. Dia berkata, “Ya Tuhanku, berikanlah aku keturunan yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar Doa”
Alhamdulillah, Allah telah mengabulkan doa Nabi Zakaria dan mengurniakannya seorang anak lelaki iaitu Nabi Yahya. Kisah Nabi Zakaria dan Nabi Yahya boleh dilihat dalam Surah Maryam (19: 1-15). Kisah Nabi Zakaria ini menunjukkan bahawa manusia tidak boleh berputus harap dengan kurniaan tuhan.
Anak-anak perlulah diberikan pendidikan yang lengkap dari aspek rohani dan jasmani (roh dan jasad). Didikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diberi keutamaan dan dipupuk sejak dari usia muda. Tidak dilupakan ilmu pengetahuan yang secukupnya. Aqidah Islamiyyah mestilah ditanamkan dalam diri anak-anak sedari lahir. Sebab itulah Islam menganjurkan anak-anak dilaungkan azan ataupun iqamah di telinganya selepas dilahirkan ke dunia.
Ibu bapa juga haruslah tegas dalam mendidik anak-anak terutama dalam perkara melibatkan ibadah dan perintah Allah seperti solat. Seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis:
"Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia 7 tahun dan pukullah mereka (bila tidak mahu) pada usia 10 tahun dan pisahkan mereka ditempat-tempat tidur". (HR. Ahmad dan Abu Dawud)
Ibu bapa juga bertanggungjawab atas anak-anak mereka, tanpa megira usia seperti dalam firman Allah dalam surah At-Tahrim (66: 6) :
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalh manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dank eras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan
Antara perkara yang boleh/perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk memperoleh anak yang soleh/solehah;
a. Menanamkan asas keimanan dari usia muda, ajarkan anak-anak solat, membaca Al-Quran dan berpuasa. Usia bukanlah alasan untuk mereka tidak melakukan suruhan Allah
b. Asuhlah anak-anak dengan lemah lembut tetapi tegas
c. Pamerkan Akhlak yang mulia dan terpuji kerana akan menjadi ikutan anak-anak
d. Menggalakkan anak-anak untuk mencintai ilmu pengetahuan
e. Ibu bapa boleh mengamalkan doa untuk mendapat anak soleh seperti yang dianjurkan oleh Allah dalam Surah Al-Furqan (25: 74).
Maksudnya: Dan orang-orang yang berkata, “ Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa”
Untuk memperoleh anak yang soleh/solehah, memerlukan pengorbanan yang besar daripada ibu bapa. Anak-anak mestilah menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka.
Walaupun isi kandungan khutbah ini lebih banyak ditujukan kepada golongan yang telah bergelar bapa, namun kita sebagai anak-anak haruslah mengambil iktibar bersama. Setiap ibu bapa menyimpan hasrat untuk melihat anak-anak mereka menjadi orang yang berguna dan soleh/solehah. Tapi apakah yang telah kita lakukan untuk merealisasikan impian ibu bapa kita??? Mampukah kita menjadi “saham” kepada ibu bapa kita di akhirat??? Adakah kita sudah cukup bagus untuk mendapat zuriat yang soleh/solehah di masa akan datang??? Sama-sama kita renungkan….
salam
ReplyDeletenak tambah...memandangkan ditujukan kepada golongan ibu-bapa,maka janganlah lupa,ikhwah akhawat sekalian, yg BAKAL menjadi ibu-ibu,bapa-bapa juga....InsyaAllah...