Pada 11 Disember 2010, Team Dana FIDAK KARISMA telah menganjurkan program Inaugural Muslim-Preneur Leadership Camp 2010 (IMPAC '10) yang diadakan di Sekolah Islam Adni di Taman Sri Ukay, Ampang Selangor. Program in telah disertai oleh 40 orang ikhwah dan akhawat dari pelbagai lokaliti seluruh Malaysia. Alhamdulillah, K-PPUKM berjaya menghantar 3 orang wakil yang terdiri daripada bendahari; Noor Adibah Abdullah dan JK-JK Dana; Nurul Ainna Khirul Anuar dan Siti Umairah Hamid.
Objektif program ini antara lainnya adalah untuk memberi penerangan tuntutan dalam Islam tentang penyediaan rekod kewangan, memberi penjelasan tentang kepentingan dan kelebihan mempunyai rekod kewangan yang tersusun, berkongsi analisa kewangan KARISMA-JIM lokaliti, berkongsi jawapan lokaliti untuk Rancangan FIDAK 2 (RF2), berkongsi bagaimana menyediakan rekod kewangan yang mudah, memberi penjelasan tentang kepentingan penjanaan dana dan erkongsi idea bagaimana menjana dana di lokaliti.
Program yang berlansung mulai jam 9.00pg hingga 5.00ptg ini telah diatur dengan pelbagai slot-slot menarik yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Seusai program dirasmikan oleh Presiden KARISMA Nasional, Akh Abdullah Omar Muhamad Fuad, program ini telah dimulakan dengan perkongsian oleh Akh Muhamad Fitri Hassan selaku pengerusi Team Dana FIDAK merangkap Bendahari KARISMA Nasional di dalam slot 1: 'Tuntutan terhadap Islam terhadap penyediaan rekod kewangan dan kepentingannya', slot 2: 'Perkongsian analisa kewangan KARISMA-JIM lokaliti', dan slot 3: 'Penyediaan rekod kewangan yang mudah'.
Di dalam slot 1, Akh Fitri telah menegaskan tentang kewajipan untuk menulis hutang piutang dengan benar seperti yang temaktub di dalam surah al-Baqarah ayat 282-283 yang bermaksud:
282. Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu'amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana ALLAH mengajarkannya, maka hendaklah ia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu mengimlakkan (apa yang akan ditulis itu), dan hendaklah ia bertaqwa kepada ALLAH Tuhannya, dan janganlah ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkan, maka hendaklah walinya mengimlakkan dengan jujur. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tiada dua oang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang mengingatkannya. Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil; dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil mhaupun besar sampai batas waktu membayarnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (Tulislah mu'amalahmu itu), kecuali jika mu'amalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu, (jika) kamu tidak menulisnya. Dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli; dan janganlah penulis dan saksi saling sulit menyulitkan. Jika kamu lakukan (yang demikian), maka sesungguhnya hal itu adalah suatu kefasikan pada dirimu. Dan bertakwalah kepada ALLAH; ALLAH mengajarmu; dan ALLAH Maha Mengetahui segala sesuatu.
283. Jika kamu dalam perjalanan (dan bermu'amalah tidak secara tunai) sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang tanggungan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Di dalam slot 2, Akh Fitri telah membentangkan analisis kewangan setiap lokaliti KARISMA-JIM 2007 hingga 2009. Namun begitu hanya 8 lokaliti sahaja daripada berbelas-belas lokaliti yang berjaya menghantar laporan tersebut. Alhamdulillah K-PPUKM telah menghantar laporan kewangan 2009, namun tiada laporan kewangan 2007 dan 2008 direkodkan. Walaubagaimanapun, K-PPUKM tidak berseorangan di dalam hal ini memandangkan terdapat beberapa lokaliti lain yang hanya menghantar laporan kewangan 2009 sahaja. Seperti yang dikongsikan oleh Pengarah IMPAC '10, Ukht Izahana Haron, hal ini berlaku kemungkinan besar kerana bendahari tanzim terdahulu tidak 'pass over' laporan kewangan mereka kepada bendahari tanzim yang sedang bertugas sekarang, ataupun kerana tiada penyimpanan rekod kewangan yang sempurna. Dengan itu, adalah penting bagi setiap ahli KARISMA, terutama sekali bendahari untuk mempelajari teknik asas menyediakan laporan kewangan seperti income statement dan balance sheet. Maka di dalam slot 3, Akh Fitri telah memberi tunjuk ajar kepada setiap peserta untuk membuat income statement dan balance sheet dengan mudah dan pantas.
Selepas program berhenti rehat seketika untuk makan tengahari dan solat Zuhur berjemaah, program diteruskan dengan slot 'Perkongsian jawapan lokaliti untuk rancangan FIDAK 2 (RF2) & kepentingan penjanaan dana' yang disampaikan oleh Pengarah IMPAC '10 Ukht Izahana Haron merangkap JK Dana KARISMA Nasional. Di dalam slot ini, Ukht Izahana menerangkan tentang kepentingan 4P + 1C dalam menjana dana lokaliti. Konsep 4P + 1C yang dimaksudkan oleh beliau adalah Product, Pricing, Place, Promotion dan Customer Service.
Slot terakhir pada program IMPAC '10 kali ini adalah slot 'Zakat' yang disampaikan oleh pakcik Abdul Hafidz Hashim selaku ahli lembaga Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB) yang telah menerangkan sedikit sebanyak mengenai zakat dan peluang menjana dana lokaliti melalui KIMB. Setelah itu, para peserta IMPAC '10 telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan LDK untuk membuat latihan income statement dan balance sheet, juga untuk berbincang mengenai perkara-perkara yang telah dilakukan untuk menjana dana lokaliti dan apakah tindakan di masa hadapan untuk menjana dana di setiap lokaliti.
Program kemudiannya berakhir kira-kira jam 5.00 petang dan hadirin dijamu dengan kudapan, seterusnya menunaikan solat Asar secara berjemaah. Diharapkan agar program IMPAC '10 kali ini dapat membantu dalam memberi idea dan semangat untuk lebih gigih berusaha bagi menjana dana lokaliti di masa akan datang.
"Bersama menjana dana K-PPUKM"
Siti Umairah Hamid
JK Dana K-PPUKM 2010/2011.
No comments:
Post a Comment