Saturday, December 4, 2010

Terlajak Kata Buruk Padahnya!



Khutbah Jumaat Minggu 3

Khutbah Jumaat kali ini membawa tajuk “Terlajak Cakap”. Mungkin tajuknya agak tergantung tetapi amat ringkas dan mudah difahami serta sangat berkaitan dengan kehidupan seharian kita. Mari kita sama-sama renungi isi kandungan Khutbah Jumaat kali ini...

Tempat: Surau Ibnu Sina PPUKM

Tarikh: 3 Disember 2010

Tajuk: Terlajak Cakap

Rumusan:

Allah S.W.T telah menetapkan bahawa salah satu sifat Rasulullah s.a.w adalah “Tabligh” iaitu menyampaikan. Sifat tabligh ini memerlukan Rasulullah untuk berkata-kata dan berkomunikasi dalam usaha berdakwah. Natijahnya, ramai yang memeluk Islam hasil daripada dakwah Rasulullah. Akhlak dan tutur bicara Nabi Muhammad s.a.w juga merupakan salah satu faktor yang menarik ramai orang untuk memeluk Islam. Ini menunjukkan bahawa betapa besarnya impak atau kesan bicara kata Nabi Muhammad dalam Islam.

Lidah ataupun lisan merupakan anugerah daripada Allah kepada manusia, dan seharusnya manusia menggunakan ia sebaik mungkin. Lidah merupakan salah satu organ yang penting dalam diri manusia dan ia memberi deria rasa kepada manusia selain daripada kebolehan untuk berkata-kata. Manusia juga harus ingat bahawa lidah inilah yang akan dibawa untuk menghadap Allah di Padang Mahsyar kelak. Pada ketika itu, bukan sekadar lidah, malah semua anggota badan kita akan bersuara menjadi saksi atas perlakuan kita semasa hayat di muka bumi Allah ini. Seperti firman Allah dalam Surah Yaasin (36: 65),

Maksudnya: Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang yang dahulu mereka kerjakan.

Islam menganjurkan ummatnya untuk menjaga lidah/lisan. Kerana lidah, sebuah persahabatan boleh dibina. Kerana lidah, pergaduhan atau permusuhan boleh tercetus. Seperti kata-kata Ilmuwan Islam terdahulu, lidah itu lebih tajam daripada sebilah pedang. Lihatlah bagaimana kata-kata yang dituturkan oleh lidah dapat mengubah dunia. Kerana lidah, aqidah boleh terjejas. Kerana lidah sang suami/isteri, rumah tangga boleh musnah. Kerana lidah seorang pemerintah, sebuah negara boleh sengsara. Kerana lidah seorang hakim, seorang pesalah boleh dipenjara mahupun dihukum bunuh. Semuanya kerana LIDAH! Justeru, benarlah apa yang telah dianjurkan oleh Islam seperti yang dinyatakan dalam Hadis:

Daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “ Muslim sebenar ialah orang yang dapat memelihara kesejahteraan orang-orang Islam dari kejahatan lidah dan tangannya dan seorang yang berhijarah (yang sempurna hijrahnya) ialah yang berhijrah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Allah S.W.T. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Fitnah merupakan kata-kata ataupun khabar yang diada-adakan dan selalunya dengan tujuan untuk menjatuhkan seseorang. Allah telah menyentuh mengenai perihal fitnah ini dalam Al-Quran dalam Surah Al-Qalam (68: 11-12):

Maksudnya: Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai). Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang amat berdosa.

Hukum memfitnah ini juga termaktub dalam Al-Quran seperti dalam surah Al-Baqarah (2: 191):

Maksudnya: Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.

Fitnah ini amatlah berbahaya. Sahabat boleh menjadi musuh hanya kerana fitnah. Fitnah boleh menyebabkan tekanan perasaan dan masalah mental. Fitnah juga boleh mengakibatkan hilangnya keamanan sebuah negara. Sampai begitu sekali impak fitnah. Oleh kerana itulah, Saidina Abu Bakar pernah meletakkan batu di dalam mulutnya. Beliau menyatakan, dengan cara inilah aku dapat menghalang lisanku daripada berkata-kata yang sia-sia. Jadi, umat Islam haruslah menjaga lisan dan berhati-hati dalam berkata-kata. Jauhkan daripada berkata yang sia-sia dan boleh mengguris hati saudara kita yang lain. Setiap berita atau khabar yang diterima juga haruslah diteliti sepenuhnya sebelum disebarkan untuk mengelakkan fitnah. Allah telah mengurniakan kita dengan akal dan fikiran untuk berfikir. Seperti firman Allah dam surah Al-Hujurat (49: 6):

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Akhir kata, hati-hati dengan kata-kata dalam usaha untuk menjaga aqidah Islamiyyah. Manffatkan lidah dengan banyakkan berzikir. Bersyukur dengan nikmat lidah daripada Allah. Gunakanlah akal yang waras untuk menapis setiap berita yang diterima. Jagalah lidah dan kata-kata kita agar kita boleh menjadi contoh kepada seluruh umat Islam mahupun bukan Islam. Seperti firman Allah dalam surah Ali-Imran (3: 104):

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Bagaimana dengan lidah kita? Fikirkanlah! Wallahua’lam…

No comments:

Post a Comment