Assalamu'alaikum w.b.t.
Sebenarnya memang seronok untuk menonton TV pada hari-hari cuti sempena hari kebesaran Islam sebegini memandangkan banyak program yang disajikan adalah berbentuk Islami. Kalau anda perasan, antara program 'wajib tayang' bagi setiap stesen TV sempena Ma'al Hijrah pasti ada dokumentari mengenai penghijrahan yang dilakukan oleh seorang mu'allaf daripada agamanya kepada agama Islam. Dan saya sangat terharu apabila dapat menyaksikan di kaca TV mengenai seorang mu'allaf berbangsa Cina yang bukan sahaja cacat pengelihatan, namun beliau juga telah lama berkecimpung dalam bidang dakwah. SubhanALLAH, betapa celiknya mata hati insan terpilih ini.
Bersempena dengan Ma'al Hijrah 1423H yang jatuh pada hari ini, terdetik di hati saya untuk berkongsi sesuatu di sini. Saya ingin mulakan perkongsian ini dengan kata-kata seorang sahabat kepada kami pada hari Jumaat yang lalu sewaktu kami sedang duduk bersembang bersama beberapa rakan yang lain. Beliau mengatakan bahawa, "Terdapat perbezaan di antara mereka yang telah sejak kecil/remaja lagi berkecimpung dengan jalan agama/dakwah (mungkin atas faktor keluarga atau berpeluang untuk bersekolah di sekolah aliran agama) berbanding mereka yang baru menemuinya sewaktu mereka sedang menginjak umur dewasa. Mereka yang baru menemuinya akan lebih menghargai dan menghayati anugerah hidayah yang telah ALLAH kurniakan kepada mereka."
Sedikit-sebanyak, kata-kata beliau terkena batang hidung saya sendiri memandangkan saya sendiri berasal daripada salah sebuah sekolah menengah kebangsaan agama. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa pelajar-pelajar aliran agama (termasuk saya sendiri) mempunyai masalah sosial sama seperti pelajar bukan aliran agama. Kes-kes merokok, buli, ber'couple' dan sebagainya sering menjadi masalah di sekolah walaupun telah berkali-kali diperingatkan oleh guru-guru. Dan selepas tamat pengajaran di sekolah, saya juga menyaksikan sendiri terdapat beberapa bekas pelajar sekolah saya ini yang bersosial, bergaul bebas bercampur lelaki dan perempuan, dan ada juga yang telah menjadi freehair. Ada juga yang berkata bahawa, "Kalaulah orang lain tahu yang aku pernah belajar di sekolah agama, pasti tidak percaya bahkan mentertawakan aku." Alangkah pilunya hati saya mendengarnya.
Dan bagaimana pula dengan mereka yang sedari kecil dibesarkan keluarga yang begitu menitik beratkan bidang dakwah? Yang berayah ibukan naqib dan naqibah? Alhamdulillah, rata-rata mereka nekad untuk terus menyambung legasi dakwah ini, namun masih ada segelintir dari mereka yang ingin memilih jalan mereka sendiri. Terdetik di benak fikiran saya, mengapa mereka menjadi sedemikian rupa sedangkan telah begitu lama berada dalam Bi'ah Solehah (persekitaran yang baik). Namun siapalah saya untuk menilai mereka sedang saya sendiri punya kelemahan yang tersendiri.
Sebenarnya mesej yang ingin saya sampaikan di sini adalah, untuk mencari hidayah ALLAH itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia adalah milik ALLAH dan DIA memberikannya kepada sesiapa saja yang disukaiNYA, dan untuk mengekalkan sinar hidayah yang telah diberikan oleh ALLAH itu adalah terlebih-lebih lagilah sukarnya. Namun sebagai hamba yang beriman kepadaNYA, kita haruslah sentiasa berusaha untuk meningkatkan 'stamina iman' kita tanpa jemu dan jangan sekali-kali berputus asa.
Sempena dengan Ma'al Hijrah ini, saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat ikhwah/akhawat sekalian agar tetap terus berada dalam jalan dakwah ini dan janganlah sekali-kali berputus asa dengan perjuangan kita sebagai seorang daie di muka bumi ALLAH ini. Mudah-mudahan akan lebih ramai lagi sahabat-sahabat kita di luar sana yang dapat berhijrah bersama-sama dengan kita, dan diharapkan agar dengan usaha kita yang tidak seberapa inilah akan menjadi saksi kepada kita di Mahsyar nanti, insyaALLAH! Salam Ma'al Hijrah 1432H.
No comments:
Post a Comment