Adapted from alwancomics.com |
KHUTBAH JUMAAT MINGGU 5
Sebelum memulakan entry mengenai khutbah jumaat minggu ini, JK Dakwah dan Media memohon maaf atas ketiadaan khutbah jumaat minggu keempat. Secara umum, khutbah jumaat minggu lepas menyentuh isu “Hijrah” yang kebanyakan daripada isi kandungan khutbah tersebut telah dikongsikan dalam entry mengenai hijrah sebelum ini (Salam Ma'al Hijrah 1432H).
Khutbah minggu ini pula menyentuh mengenai gejala pergaulan bebas di negara kita serta sedikit perkongsian mengenai “Baitul Muslim”. Mari ikuti kupasan isi kandungan khutbah jumaat minggu ini…
Tempat: Surau Ibnu Sina PPUKM
Tarikh: 17 Disember 2010
Tajuk: Pergaulan Bebas
Pathophysiology of "buang bayi" |
Salah Siapa?
Teori di atas tidak boleh disangkal lagi. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan merupakan punca kepada gejala zina dan buang bayi yang semakin membimbangkan di negara kita. Salahkanlah ibu bapa, sistem pendidikan negara, rakan sebaya ataupun media. Semuanya berbalik kepada individu itu sendiri. Allah mengurniakan akal untuk membezakan yang baik dan buruk. Kenapa tidak mahu gunakan?
Zina + Buang Bayi = ???
Gejala zina dan buang bayi dilarang bukan hanya oleh agama Islam, bahkan dalam agama lain. Buang bayi hanyalah salah satu akibat daripada zina. Banyak lagi akibat yang lebih buruk yang bakal menimpa “sang pelaku”. Di dunia, Allah boleh berikan balasan seperti zuriat yang tidak sempurna, penyakit kelamin dan sebagainya. Jika terlepas di dunia pun, di akhirat pasti tidak terlepas! Lupakah akan api neraka yang panasnya 70 kali lebih panas berbanding api di dunia? Islam turut mengenakan hukuman yang berat kepada “sang pelaku” tersebut. Ini menunjukkan betapa kerasnya Allah melarang perbuatan ini. Seperti firman Allah dalam Surah An-Nur (24: 2)
Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Mendekati Zina
Zina sudah terang-terangan merupakan satu perbuatan terkutuk dalam Islam. Di samping itu, Allah turut melarang ummat Islam daripada MENDEKATI zina. Bukan sekadar zina, bahkan perbuatan-perbuatan yang boleh mendekatkan manusia kepada zina turut dilarang. Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ (17: 32)
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Apakah definisi mendekati zina? Mungkin ada percanggahan pendapat dalam menghuraikan definisinya. Namun, beberapa contoh boleh menggambarkan apa itu mendekati zina. Tidak menjaga pandangan, memandang wanita/lelaki bukan muhrim dengan sengaja dalam tempoh yang lama, melihat gambar-gambar lucah, menonton video-video porno. Ini sekadar beberapa contoh. Banyak lagi contoh yang boleh diberikan. Khatib turut menyuarakan kebimbangan mengenai perhubungan selepas pertunangan. Ramai yang menggunakan pertunangan sebagai “lesen” untuk menghalalkan yang haram. Ingatlah, selagi belum bernikah, pergaulan dan perhubungan masih terbatas kerana masih tiada ikatan yang sah. Ingatlah! Jika maksiat semakin berleluasa, musibah juga semakin dekat.
Halalkan yang haram? Nikah!
Nikah merupakan pilihan yang terbaik bagi mengatasi masalah maksiat ini. Nikah merupakan sunnah Rasulullah. Nikah menghalalkan hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan. Hubungan kelamin yang halal turut diberi ganjaran pahala oleh Allah. Justeru, hidup berkeluarga itu merupakan satu ibadah. Semua ibadah yang dilakukan kerana Allah, akan dibalas dengan ganjaran pahala. Itu janji Allah.
Susahnya Nak Nikah!
Perkahwinan tidak sepatutnya menjadi satu beban. Tetapi situasi di negara kita pada hari ini, dengan dipengaruhi oleh adat, status sosial serta keluarga mengakibatkan perkahwinan itu menjadi satu perkara yang menyusahkan dan leceh! Kerana terlalu menjaga adat, mahu menjaga status keluarga ataupun status pendidikan, perkara yang digalakkan oleh Islam ini menjadi satu beban.
Perkahwinan cara Islam
Islam menganjurkan untuk bersederhana. Walimah cukuplah sekadar menyembelih seekor kambing. Kita perlu ingat bahawa tujuan utama walimah adalah untuk menghebahkan tentang pernikahan agar tidak menjadi fitnah. Mungkin situasi di negara kita sekarang ini, menyembelih seekor kambing itu tidak mencukupi. Tetapi berpada-padalah dalam berbelanja. Cukup sekadar untuk menjamu tetamu yang datang. Tidak perlu berhabis berjuta-juta ringgit untuk pakaian pengantin, hiasan rumah atau pelamin. Berbelanja sekadar yang mampu. Mas kahwin juga tidak perlu diletakkan terlalu tinggi agar tidak menjadi beban dan untuk mengelakkan pembaziran. Apa ada pada wang dan harta sedangkan kasih sayang itu lebih bermakna. Seperti firman Allah dalam Surah Ar-Rum (30: 21)
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Kucing pun ber"baitul muslim"... hehe |
p/s: Tahniah untuk akhi Afiq yang akan menamatkan zaman bujang minggu hadapan… Barakallah!
No comments:
Post a Comment