Friday, November 5, 2010

Lepaskan Diri dari Penjara Dosa

Cuba tanya diri kita? Berapa kali sudah kita lakukan dosa yang sama dalam pada masa yang sama menyedari bahawa perlakuan kita itu berdosa? Berapa kali sudah kita ditipu oleh bisikan syaitan yang sering mengatakan “tak mengapa, sikit sahaja…” tetapi apabila semuanya sudah terlambat, barulah kita tersedar bahawa selama ini kita punya pilihan. Ya, kita sentiasa diberi pilihan, samaada untuk meneruskan dosa tersebut atau melarikan diri daripadanya. Sering kali juga kita berkata pada diri kita sendiri, “tak mungkin! Aku tak mungkin dapat lepaskan diri dari melakukannya! Pasti, pasti Allah akan memahami bukan?” benarkah begitu “wahai orang-orang yang beriman”? bukankah kita orang-orang yang beriman itu, yang disebut berulang kali didalam Al-Quran. Kita semua, bukankah kita orang yang telah mengucap dua kalimah syahadah, yang telah bersumpah untuk menjadi hambaNya yang patuh?

“sesungguhnya sembahyangku, ibadatku , hidupku dan matiku hanya untuk Allah semesta alam” (doa iftitah)

Maka apa lagi yang perlu dibicarakan? Mengapa kita sering mencari alasan? Mencari alasan untuk terus dibelenggu oleh dosa, dosa kita yang sama juga?! Sungguh, tuhanmu, tuhanku, tuhan kita semua, adalah tuhan yang Maha Mengasihani, lagi Maha Menyayangi… Adakah ini bererti kita akan diaampunkan semuanya? Mengapa pula? Yakin benar kita ya, yakin benar kita bahawa kita boleh terlepas dari azab api neraka? Mengapa? Adakah kita hambaNya yang begitu patuh? HambaNya yang maksum? Yang dijanjikan syurga? Malah kita orang yang angkuh! Apa kita sangka selama ini kita bisa membeli syurga Allah dengan amal kita yang begitu sedikit. Terus, terus kita biarkan diri ditenggelami dosa. Usahlah bermimpi lagi. Itu semua anganan palsu… Mengimpikan syurga namun masih membiarkan diri terpenjara dengan dosa-dosa yang sama.

“dan kehidupan dunia ini, hanya permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti?” (6:32)

Bangunlah wahai orang-orang yang beriman! Sedarlah bahawa bumi dan seluruh alam ini tidak mungkin akan kasihan pada kita sekiranya kita sering lemah! Terlalu lemah untuk mengeluarkan diri kita dari godaan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang durjana! Bangkitlah, dan sedarlah bahawa kita adalah hamba-hambaNya yang beriman, itulah kita… Kita mampu melakukannya, kita mampu menahan nafsu kita, kita mampu membuat pilihan yang benar, dan kita mampu meletakkan Allah dihadapan kepentingan nafsu kita sendiri! Kerana kita adalah manusia, khalifah di muka bumi ini, dan kita seroang muslim! Kita punya akal, kita punya kebijaksanaan, kita punya tubuh badan yang sihat… semuanya dari Allah, maka mengapa tidak kita gunakannya untuk mencari keredhaanNya jua?

“dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan”

Hentilah memandang rendah pada kemampuan kita… Kita mampu mengubah seluruh dunia, apatah lagi diri kita sendiri… Aku percaya, diriku, kamu, dan kita semua, mampu… Namun pilihan itu terletak pada tangan kita, pada hati kita, pada iman dan ketaqwaan kita. Allah tidak pernah meninggalkan kita, janganlah kita berputus asa. Allah yang masih mengurniakan kita udara untuk bernafas didalamnya, tidak mungkin menginginkan kita dibakar di dalam api neraka. Kembalilah wahai orang-orang yang beriman, kembalilah pada islam, dan kembalilah pada Allah. Sungguh, kita adalah manusia yang terpuji kiranya kita beriman. Sebelum nyawa kita yang mungkin akan berakhir dalam beberapa tahun, bulan, minggu, hari, jam, minit atau saat sahaja lagi, bebaskan diri kita daripada penjara dosa-dosa kita, dan kembalilah pada Allah.

“dan barangsiapa yang berserah diri kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang pada buhul tali yang kukuh. Hanya kepada Allah kesudahan segala urusan” (31:22)

Astaghfirullahalazim...

No comments:

Post a Comment